Bdr Baru Bangi, 30 Ogos 2009

 

Kepada Anak-Anak/Cucu-cucu Yang Dikasihi,

Papa dan Mama mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan dan Selamat Berpuasa kepada semua anak-anak dan cucu-cucu yang sudahpun berpuasa penuh dan ada pula yang dalam percubaaan setengah hari. Demi masa berlalu Papa tidak sedar cucu-cucu yang kecil dulu sudah pun besar dan mula berpuasa. Syabas Aki ucapkan kepada cucu-cucu yang berjaya berpuasa sepenuh dan juga setengah hari.

Ramadan hadir sekali lagi dan alhamdulillah kita dipanjangkan umur dan dapat menyambut Ramadan bersama keluarga, beramal ibadat dan akan merayakannya di bulan Syawal yang akan menjelang nanti.

Teruskanlah menerima ilmu dan beramal bakti kepada diri, keluarga dan masyarakat untuk menjadi insan yang sempurna di dunia dan akhirat.

Dalam sepanjang bulan Ramadan ini rencanakan hidup kita berdasarkan ilmu yang benar dan hak untuk kita laksanakan sebagai insan yang benar dan hak yang diredai Allah apabila Syawal menjelang tiba nanti zahirkan lah program dan projek yang direncanakan sepanjang bulan Ramadan sehingga benar-benar berjaya sepanjang masa.

Papa dan Mama berdoa ke hadrat Allah semoga anak-anak cucu semua diberkati Allah dan dilimpahkan taufik dan hidayah serta diredai sebagai hak-Nya yang diberkati sepanjang masa.

Selamat Berpuasa dan Selamat Berjaya.

Salam kasih mesra,

 

Papa @ Aki

 


Bdr Baru Bangi, 22 Oktober, 2008.

 

Kepada Anak-Anak Yang Dikasihi,

 "Tidak Akan Melayu Hilang Di Dunia"

Perkembangan yang berlaku dalam negara dan luar negara amatlah tidak sihat dan membimbangkan di mana nilai hidup dan tamadun manusia tercabar dan tergugat di sana sini.

Amatlah sedih melihat negara menghadapi berbagai-bagai cabaran dalam bidang ekonomi dan sosio-politik yang mengugat keamanan dan keharmonian hubungan kaum terutamanya.

Selama lebih daripada 30 tahun Papa mengajar anak-anak semenjak kecil lagi tentang konsep kemanusiaan sejagat yakni nilai kemanusiaan yang universal yang mengutamakan hak asasi manusia, hidup hurmat menghurmati antara satu sama lain yang berteraskan nilai-nilai Islam yang universal sebagaimana kebudayaan yang diwarisi dari nenek moyang kita, dari zaman para nabi dan rasul, aulia dan walaiallah hingga ke hari ini.

Melihatkan perkembangan hubungan antara kaum yang tidak sihat malahan amat membimbangkan maka Papa rasa berkewajipan untuk mengingatkan anak-anak kepada hakikat kewujudan manusia khususnya yang berbangsa Melayu dan yang beragama Islam di bumi bertuah ini pada suatu masa dahulu yang bergelar Tanah Melayu.

Tanah Melayu yang diubah nama kepada Malaysia yang maju dan aman damai adalah kerana dibina antara lain berteraskan budaya Melayu dan Islam sehingga makmur bagi semua kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum.

Bagaimanapun apabila semua kaum sudah maju, sudah bijak dengan berbagai-bagai ilmu dan kemahiran serta hidup senang lenang dan kaya raya di antaranya bersabit dengan budaya Melayu dan Islam itu tadi yang merupakan suatu kontrak sosial maka manusia yang sama itu menjadi tamak haloba dan rakus serta berani mempersoalkan kepada akar umbi nilai-nilai dan budaya kemanusiaan sejagat itu sendiri.

Kaum Cina tidak puas hati dengan nikmat yang diperolehi selama ini dan kaum India pula berdemonstrasi mendesak Kerajaan secara yang paling biadap atas ketidakpuasan hati mereka.

Orang Melayu pula terutama di antara para pemimpin mereka terpiga-piga tidak memahami apa yang telah berlaku kerana mereka sendiripun sudah hilang pedoman dan identiti Kemelayuan dan Keislaman mereka kerana terlampau taksub dengan kuasa dan harta sehingga lupa untuk memartabat bangsa dan agama mereka sendiri.

Anak-anak sebagai orang Melayu dan Islam seharusnya sedar kembali kepada identiti dan budaya kita yang telah menyelamat dan menjayakan negara kita selama ini. Sekiranya kita tidak dapat menyelamatkan negara ini sekalipun sekurang-kurangnya selamatkanlah unit keluarga kita masing-masingnya daripada ancaman yang melanda bangsa dan negara yang tercinta ini setakat mana dan sedaya mana yang termampu.

Papa ingin mengingatkan anak-anak bahawa walaupun selama ini Papa mengutamakan nilai-nilai kemanusiaan sejagat tetapi melihat kepada kaum-kaum lain berleluasa bermain dengan sentimen perkauman dan hanya mengutama kepentingan kaum masing-masing sahaja tanpa peduli apalagi menghurmati asas-asas kemanusiaan maka Papa perlu menyedarkan anak-anak bahawa sebagai manusia yang dilahirkan dengan MINDA dan HATI (NURANI) sebagai manusia sejagat tetapi kita perlu sedar bahawa kita bertubuhkan jasad Melayu dengan beragama Islam hakiki yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sebagai orang Melayu kita juga mempunyai berbagai-bagai kepentingan kaum Melayu dan Islam yang perlu diutamakan di samping bersifat perikemanusiaan yang universal. Janganlah lagi hendaknya ada di antara kita yang hilang identiti kemelayuan dan agama Islam hakiki semata-mata kerana berebut kuasa dan harta sehingga begitu mudah kaum-kaum lain memperkotak katikkan kaum sendiri tanpa sebarang pembelaan. Di manakah Tuah dan Jebat di zaman ini?

Kita adalah manusia yang berminda dan berhati nurani tetapi kita adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam zaman berzaman sehingga kaum pendatang dahulunya boleh bertapak dan hidup senang lenang tetapi kini mereka pula mempersoalkan kita atas ketidak adilan kita pula terhadap mereka. Manusia sudah riak dan takbur dan lupa bukan sahaja kepada sejarah tetapi kepada nilai-nilai dan budaya hidup kita selama ini yang memberi keselesaan hidup kepada semua.

Manusia sememangnya mudah lupa diri, kaum Melayu lupa dirinya Melayu kerana terlampau megah dengan KUASA dan HARTA sehinggakan kaum-kaum lain berani mencabar kewibawaan orang Melayu di buminya sendiri. Kaum-kaum lain pula lupa diri dan tidak bersyukur bahawa nilai-nilai dan budaya orang Melayu dan Islam lah yang selama ini menjamin keselamatan dan keamanan mereka selama ini.

Anak-anak hendaklah kembali kepada asas nilai-nilai murni dan budaya kita turun temurun sebagai orang Melayu yang beragama Islam hakiki dan mengingat kembali kata-kata keramat Datuk Laksamana Hang Tuah, "Tidak akan Melayu hilang di dunia."

Selagi manusia yang dilahirkan sebagai orang Melayu yang beragama Islam hakiki berpegang teguh kepada nilai-nilai murni serta budaya kita turun temurun tanpa lupa diri dengan kuasa dan harta yang dinikmati maka selama itulah orang Melayu akan berdiri tegak di bumi sendiri dengan mendaulatkan nilai-nilai dan budaya warisan sehingga ke akhir zaman.
 

Salam takzim,

Papa

 

 

 


Copyright 2005-2013 by Dr. Ghazali A.G.
All Rights Reserved.